ASET FITRAH & DAKWAH RASULULLAH SAW

Kelahiran seorang Rasul yang bernama Muhammad bin Abdullah di kalangan  Arab Quraisy di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah di kota Mekah sebenarnya telah merubah dunia dan tamadun manusia. Sebuah kota yang dihuni oleh manusia-manusia yang telah memalingkan diri dari ajaran agama samawi terdahulu , yang di bawa oleh para nabi dan utusan Allah. Justeru itu Muhamammad Saw diutuskan untuk mengajak  semula manusia kepada mengesakan Allah SWT.

Penduduk Mekah pada ketika itu berada di dalam suasana jahil yang amat nyata, mereka menyembah berhala, bermusuh-musuhan, meminum arak, berjudi , menanam anak perempuan hidup-hidup, berzina dan sebagainya. Pendek kata mereka berada dalam suasana yang  tidak bertamadun. Lantaran itu Allah  telah mengutuskan Rasulnya yang terakhir untuk umat ini,  bukan untuk bangsa Arab semata-mata tetapi untuk manusia sejagat.

وما أرسلناك الا رحمة للعالمين

Maksudnya : Tidak aku mengutuskanmu (Muhammad)  melainkan sebagai rahmat seluruh alam.

Rasul yang di utuskan oleh Allah swt secara langsung. Bukanlah ia mendapat perlantikan dari kuasa besar dunia pada ketika itu, iaitu Kerajaan Rom dan Parsi. Bukan juga baginda mendapat tunjuk ajar daripada para Rahib dan pendeta-pendeta atau ahli sihir  pada ketika itu. Ajaran yang baginda bawa adalah tulen daripada Allah swt, melalui Al Quran yang diwahyukan kepada baginda dan melalui tarbiah secara terus dari Allah.

Proses perubahan tamadun dari Jahiliyyah kepada Islam bermula dari detik Nubuwwah atau perutusan baginda sebagai Rasul oleh Allah swt. Bermula dari turunnya wahyu yang pertama di gua Hira’, ketika usia baginda telah mencecah 40 tahun. Baginda pulang dari gua hira’  menggigil ketakutan, baginda melalui satu pengalaman baru. Saidatina Khadijah isteri tercinta menenangkan baginda sambil menyelimutkan tubuhnya yang mulia tanpa banyak soal atau membuat apa-apa andaian.

Apakah kekuatan yang ada pada orang Arab ketika itu untuk menerima Islam, satu agama baru bagi mereka? Sedangkan mereka sudah bertahun-tahun dari nenek moyang mereka dahulu menyembah berhala yang berbagai  bentuk rupa. Tidak pernah terlintas dihati mereka untuk hanya menyembah Allah Tuhan Yang Satu. Kerana mereka sudah sebati dengan jahiliyyah.

Walaupun pada peringkat awalnya mereka menentang Islam yang di bawa oleh nabi Muhammad saw, hanya beberapa orang sahaja yang berani tampil untuk mengisytiharkan keislaman mereka . Tetapi akhirnya bilangan mereka semakin hari semakin bertambah, Islam mampu memenangi hati hati mereka. Walaupun tidak berjaya untuk menegakkan kepimpinan Islam di Mekah, namun kumpulan manusia yang telah menyerahkan diri mereka kepada Islam itu sanggup untuk bersama-sama Raulullah saw berhijrah ke Madinah meninggalkan kampung halaman mereka mencari tapak baharu. Lalu negara Islam yang pertama berjaya didirikan di Madinah Munawwarah setelah bersabar selama 13 tahun di Mekah dengan segala episod sedih dan duka yang di lalui.

Apakah sihir atau jampi mentera yang digunakah oleh Muhammad bin Abdullah sehingga berlaku satu yang ajaib itu? Dalam masa 13 tahun di Mekah seorang demi seorang Arab Mekah  menyahut dakwah baginda. Bagaimanakah baginda mampu untuk merubah pegangan aqidah mereka yang telah turun temurun itu ? Apakah  wang, ganjaran, harta, pangkat, perempuan dan seumpamanya menjadi taruhan ? Jawapannya tidak.

Sebenarnya…. “ aset fitrah “  yang ada dalam diri setiap manusia itulah kekuatan. Aset fitrah, iaitu  perasaan cintakan kebaikan yang Allah campakkan ke dalam hati manusia sejak azali. Dengan aset fitrah yang ada dalam diri orang Arab ketika itu menyebabkan mereka tidak mampu menolak kebenaran yang dibawa oleh baginda Rasullullah saw. Mereka tidak mampu menolak kebaikan, kasih sayang, budi bahasa, sopan santun dan akhlaq yang mulia yang dibawa oleh Rasulullah. Kecuali mereka yang cuba melawan fitrah dengan sifat-sifat mereka yang degil, sombong dan angkuh.

Aqidah jahiliyyah mereka telah cair dengan segala tarbiah dan taalim Islam yang diberikan oleh Rasulullah saw secara berterusan, tanpa jemu. Selama 13 tahun Rasulullah mencurahkan segala usahanya untuk membawa manusia kepada Allah. Mengeluarkan mereka dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam.  Baginda mendampingi umatnya setiap ketika. Baginda menjadi pemimpin umat Islam ketika itu, menjadi Qudwah ikutan, tempat rujuk dan sebagai Al Quran yang berjalan. Walaupun segala usaha murni itu dibalas dengan tentangan, serangan, tuduhan dan konspirasi bunuh. Namun dakwah terus berjalan , sehingga melahirkan generasi yang unggul. Melahirkan Abu Bakr, Umar, Uthman, Ali dan seluruh sahabat yang mulia.

Sesungguhnya generasi pertama yang unik itu tidak punya pengalaman dan contoh dari orang-orang terdahulu. Merekalah perintis. Tetapi mereka punya “aset fitrah” , aset ini telah digembeleng oleh Rasulullah yang merupakan  daie yang pertama untuk membawa mereka kepada Allah.

Yang demikian itulah satu kekuatan bagi para daie hari ini untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Tidak mudah berputus asa atau jemu untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Percayalah bahawa satu hari nanti manusia yang degil, keliru , tidak faham dan sebagainya itu akan tunduk juga kepada kebenaran bersama  fitrahnya, iaitu cintakan kebaikan. Malahan ganjaran yang besar menanti buat sesiapa yang dapat menyelamatkan manusia dari kesesatan.

لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من الدنيا وما فيها

Maksudnya : Kerana sesungguhnya Allah memberi hidayah kepada seseorang kerana kamu ,adalah lebih baik dari dunia dan seisinya.

Dari sudut yang lain pula , sebenarnya Allah mampu untuk memberikan hidayah kepada manusia seluruhnya. Tetapi Allah mahu manusia berusaha mengajak orang lain kepada Islam, mencurahkan usaha terlebih dahulu, merempuh halangan, kejian maupun cemuhan , demi menyampaikan Islam. Sagu hanya akan diperolehi  setelah dipecahkan ruyungnya…!

Kisah perjuangan Rasulullah saw tidak hanya berpada dengan mengambil pucuk pimpinan Madinah. Tetapi mempertahankan Madinah dari serangan musuh. Memperkenalkan Islam kepada ketua-ketua negara asing. Dan baginda ingin mendapatkan semula kota Mekah tanah tumpah darah baginda. Di mana penaklukan atau pembukaan kota Mekah telah dapat dilaksanakan pada tahun ke 8 hijrah. Berbondong-bondong manusia masuk ke dalam agama Islam dan ia diiktibarkan sebagai satu kemenangan besar. Sekali lagi kita dapat saksikan manusia yang akhirnya tunduk kepada Allah dengan tolakan aset fitrah mereka yang telah dinafikan sejak beberapa lama.

Firman Allah :

اذا جاء نصر الله والفتح و رأيت الناس يدخل في دين الله أواجا فسبح بحمد ربك واستغفر انه كان تواب

Maksudnya : apabila datangnya hari kemenangan dan pembukaan ( Kota Mekah) dan kamu melihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunan seseungguhnya Allah Maha penerima taubat.

Sempena maulidur Rasul pada tahun ini marilah  kita mencari kekuatan disebalik dakwah baginda. Mentajdid azam untuk terus menyemarakkan dakwah di mana jua kita berada. Itulah sebenarnya erti cinta kita kepada Rasul saw. Mengikut jejak langkah , dan tarbiah Baginda saw. Memahami sunnah perjuangan. Meneruskan perjuangan suci Baginda  saw untuk memartabatkan  Islam dengan penuh komitmen.

Sebagai wanita , sejauh manakah kita telah mengambil contoh ummahatul mukminin, para isteri Rasulullah saw dalam apa jua aspek kehidupan.? Wanita yang dibahunya tugas sebagai seorang isteri, seorang ibu dan seorang aktivis masyarakat. Kerana tangannya yang menghayun buaian itu jugalah yang akan menggoncangkan dunia… !

Setiap seorang dari isteri Rasulullah mempunyai kisah yang tersendiri. Terlalu banyak pengalaman, contoh, qudwah dan ibrah yang boleh kita kutip dari mereka. Sudahkah kita bertaaruf secara mendalam dengan tokoh-tokoh wanita hebat ini? Bagaimana mungkin untuk kita duduk bersama mereka disyurga kelak , jika mereka masih belum lagi kita kenali. Bagaimana mungkin kita mendapatkan sumber kekuatan dan aspirasi dari mereka , sedangkan mereka tidak berada di dalam hati kita.

Wallahu A’lam.

SALAM MAULIDUR RASUL 1433H.

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s