MENELUSURI SIRAH KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW

Di sebalik kesibukan  berbagai urusan harian yang tak pernah habis marilah kita mencari sedikit masa untuk melihat sejenak sejarah kelahiran  manusia unggul yang diutuskan oleh Allah sebagai rahmatan lil alamin. Sejarah seorang  Nabi dan penutup segala Rasul iaitu Nabi Muhammad saw. Marilah kita mengenalinya dengan lebih dekat melalui seerah kelahiran baginda,  sekali gus kita menghirup aroma keindahan seerah itu untuk menyegarkan perjuangan kita   yang masih panjang ini.

Bermula seerah harum baginda dengan perkahwinan antara Abdullah bin Abdul Mutalib dengan seorang wanita terhormat dari kalangan Quraisy, Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf .Namun  takdir telah mendahului segalanya, Abdullah bin Abdul Mutalib telah kembali kerahmatullah sebelum sempat menimang cahaya matanya yang sedang dikandung oleh isteri tercinta.

Akhirnya Aminah melahirkan Muhammad tanpa didampingi oleh seorang yang bernama suami. Muhammad saw telah dilahirkan di rumah bapa saudara sebelah bapanya iaitu Abu Thalib,  dilingkungan bani Hasyim dekat Shafa di Mekah Al Mukarramah pada hari isnin, 12 Rabiul Awwal bersamaan  tahun 571 M  yang di kenali dengan tahun gajah, dimana ketika itu Abrahah Al habsyi telah menyerang Mekah dari arah Yaman untuk menghancurkan kaabah. Sesungguhnya keputeraan baginda telah berlaku pada 1442 tahun yang lalu,  masih kita kenang sehingga ke hari ini.

Abdul Muthalib , datuk Baginda menerima berita kelahiran cucunya dengan penuh rasa gembira. Boleh jadi beliau melihat kedatangan cucunya itu sebagai ganti kepada anaknya yang dirampas maut ketika masih muda.Datuk baginda telah membawanya ke ka’abah dan memberi nama “Muhammad” kepada cucundanya. Nama tersebut cukup asing dikalangan masyarakat Mekah pada waktu itu.

Rasulullah saw telah dilahirkan dari satu kabilah paling terhormat antara kabilah-kabilah Arab lainnya. Baginda pernah bersabda mengenai dirinya : “ Allah telah memilih kinanah sebagai keturunan Ismail, lalu dari Kinanah Dia memilih Quraisy, kemudian dari Quraisy dia memilih bani Hasyim , dan dari bani Hasyim Dia memilihku. “ (HR Muslim)

Bapa baginda saw, ialah Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luay bin ghalib bin Quraisy bin Malik bin Nadhir bin kinanah bin Khzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nazar bin Ma’ad bin ‘Adnan. Nasabnya ters berlanjutan sampai kepada Nabi Ismail bin Ibrahim. Semput juga nafas kita nak menyebut nasab baginda saw. Berapa ramai dikalangan kita yang boleh menyebutkannya dengan lancar?

Mari pula kita lihat silsilah keturunan ibunda Baginda saw, beliau adalah Aminah binti Wahhab bin Abdul Manaf bin zahrah bin Kilab bin Murrah. Nasabnya bertemu dengan ayahnya pada Kilab bin Murrah ( nenda kelima dari ayahnya dan keempat dari pihak ibunya ). Seharusnya kita mengingati susur galur keturunan baginda ini , kerana kecintaan kita kepada baginda. Kecintaan kita kepada baginda seharusnya melebihi dari diri kita sendiri.

Bidan yang membantu menyambut kelahiran Nabi saw adalah Syifa’, bonda kepada Abdur Rahman bin Auf. Sementara Suwaibah, jariah kepada bapa saudaranya Abu Lahab adalah merupakan ibu susuan baginda yang pertama. Pengasuh baginda pula ialah Ummu Aiman, jariah kepada  ayah baginda , Abdullah bin Abdul Muthalib.

Tradisi bangsawan Arab pada ketika itu menghantar anak ke pedalaman demi mencari udara dan suasana yang lebih baik bagi anak-anak mereka. Lantaran itu Rasulullah saw telah dihantar kepada Halimatus Sa’diyah untuk disusukan. Ketika berusia 4 tahun Nabi saw telah dikembalikan semula kepangkuan ibundanya. Seterusnya pada usia 6 tahun Aminah, ibunda baginda meninggal dunia, lalu baginda di asuh oleh Datuk baginda, abdul Muthalib. Dalam keadaan yatim piatu, baru  sempat 2 tahun bermanja dengan datuknya  , Abdul Muthalib juga dipanggil menemui Illahi.

Abdul Mutalib dikurniakan usia yang panjang, sehingga dikatakan bahawa beliau meninggal dunia ketika berusia 120 tahun. Beliau meninggal dunia ketika Muhammad saw hampir berusia lapan tahun. Sebelum kematiannya, beliau telah menyerahkan tanggungjawab memelihara cucundanya, Muhammad saw kepada bapa saudara baginda sebelah bapa, iaitu Abu Thalib.

Abu Thalib menunaikan tanggungjawab memelihara anak saudaranya, Muhammad saw  dengan sebaik-baiknya. Baginda tinggal dan bergaul dengan anak-anak Abu Thalib. Baginda membesar di dalam rumah Abu Talib sehingga  Baginda meningkat dewasa , matang dan memahami keadaan sekeliling. Ketika berusia 13 tahun baginda pergi mengikut Abu Thalib pergi berniaga ke Syam.

Pengalaman demi pengalaman hidup di alam kanak-kanak yang baginda lalui  sejak dari dalam kandungan ibunda lagi. Asal usul dan seerah kelahirannya amat jelas . Berbanding dengan ramai tokoh-tokoh agama lain, asal-usul  mereka biasanya tidak diketahui umum selengkap kita  mengenal  Nabi  Muhammad saw.

Kemuliaan keturunan tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada lelaki yang gagal. Seperti besi, apabila dibiarkan berkarat, ia tidak berguna lagi. Tetapi jika besi itu berada ditangan pereka yang mahir , ia boleh menghasilkan bermacam-macam rekaan.

Kelahiran Nabi saw dalam keluarga yang mempunyai kedudukan yang hebat merupakan sebahagian daripada faktor kejayaan yang Allah sediakan untuk risalah Baginda. Lagi