PECAH DAN PERINTAH SATU TRAGEDI…

Suatu ketika dahulu…. bumi Melayu pernah menyaksikan kegemilangannya. Memiliki wilayah jajahan yang luas yang di gelar “Nusantara”. Kaya dengan sopan santun dan budi bahasa. Lipatan sejarahnya sarat dengan kisah-kisah perjuangan, kepahlawanan dan pengorbanan. Percikan semangat  Khilafah Islamiyyah dibawah pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyyah dapat dirasakan sehingga ke rantau ini. Sebuah rantau yang bukan Arab, bukan orang Putih, bukan China , bukan juga India,,,, tetapi adalah rantau yang dihuni oleh bangsa berketurunan Melayu. Berkulit sawo matang dengan bahasa Melayu yang kaya dengan loghat dan dialek .

Penduduknya bebas berpergian di sekitar wilayah Nusantara , berdagang , bertandang , berziarah, bermukim dan bermastautin, berbesan, bersemenda dan  beripar duai. Bebas keluar masuk dari  negeri ke satu negeri, satu kampung ke satu kampung, di sekitar daerah dan wilayah tanpa sebarang sekatan kastam maupun immigresen. Tidak perlu paspot dan visa. Kerana sesungguhnya seluruh nusantara ini adalah milik dan negeri mereka , mereka adalah warganya yang sah.

Daerah Melaka, Johor,  riau, Inderagiri, Batam , Perlak dan Jawa amat biasa buat mereka. Seandainya ada sebarang keperluan dan hajat mereka tidak teragak-agak untuk pergi ke daerah-daerah tersebut. Malahan jika sudah berkenan dihati dengan mata pencarian yang lebih baik dan kehidupan yang lebih sempurna disatu-satu tempat  mereka akan terus menetap di situ. 

Sehinggakan bangsa minangkabau, Jawa dan mendiling ramai yang dulunya berkampung halaman di seberang ,  kemudiannya menetap di Seremban, Kelang, Gombak dan sebagainya. Kerana apa? Tiada apa-apa,,, , kerana mereka adalah  satu rumpun bangsa dan satu nusantara. Wajarkah untuk kita mengatakan mereka sebagai datang untuk menjajah? Atau datang sebagai penceroboh? Atau pendatang? Sekali-kali tidak.  Mereka bukan penceroboh, bukan juga pendatang . 

Sehingga ke detik ini darah-darah antara kaum di nusantara ini terus bercampur , membentuk generasi demi generasi. Di ikat pula dengan satu ikatan suci yang menyatukan mereka iaitu ikatan aqidah Islam. 

  • Setelah masa berlalu sejarah manis ini sudah semakin dilupakan. Malah ada pihak-pihak yang gembira seandainya sejarah ini dihapuskan terus, di sembunyikan dari pengetahuan anak cucu zaman ini. Malahan diselewengkan ceritanya. Mereka gembira melihat berlakunya pecah belah diantara penduduk Nusantara setelah sekian lama memupuk persaudaraan. 

Pihak penjajah seperti British sebelum menyerahkan bumi-bumi jajahannya di Nusantara sudah memecah-mecahkan Nusantara yang luas ini kepada negara-negara yang berasingan. Proses yang dinamakan pecah dan perintah itu menjadikan mereka merasa senang hati untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan Indonesia. Secara tidak langsung mereka menganggap orang yang dari seberang adalah orang asing..! Jika ada suara-suara yang ingin mempertahankan dan memulihkan semula persaudaraan tersebut  mereka akan dituduh rasis…. Inilah sebuah tragedi.