Kelahiran seorang Rasul yang bernama Muhammad bin Abdullah di kalangan Arab Quraisy di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah di kota Mekah sebenarnya telah merubah dunia dan tamadun manusia. Sebuah kota yang dihuni oleh manusia-manusia yang telah memalingkan diri dari ajaran agama samawi terdahulu , yang di bawa oleh para nabi dan utusan Allah. Justeru itu Muhamammad Saw diutuskan untuk mengajak semula manusia kepada mengesakan Allah SWT.
Penduduk Mekah pada ketika itu berada di dalam suasana jahil yang amat nyata, mereka menyembah berhala, bermusuh-musuhan, meminum arak, berjudi , menanam anak perempuan hidup-hidup, berzina dan sebagainya. Pendek kata mereka berada dalam suasana yang tidak bertamadun. Lantaran itu Allah telah mengutuskan Rasulnya yang terakhir untuk umat ini, bukan untuk bangsa Arab semata-mata tetapi untuk manusia sejagat.
وما أرسلناك الا رحمة للعالمين
Maksudnya : Tidak aku mengutuskanmu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat seluruh alam.
Rasul yang di utuskan oleh Allah swt secara langsung. Bukanlah ia mendapat perlantikan dari kuasa besar dunia pada ketika itu, iaitu Kerajaan Rom dan Parsi. Bukan juga baginda mendapat tunjuk ajar daripada para Rahib dan pendeta-pendeta atau ahli sihir pada ketika itu. Ajaran yang baginda bawa adalah tulen daripada Allah swt, melalui Al Quran yang diwahyukan kepada baginda dan melalui tarbiah secara terus dari Allah.
Proses perubahan tamadun dari Jahiliyyah kepada Islam bermula dari detik Nubuwwah atau perutusan baginda sebagai Rasul oleh Allah swt. Bermula dari turunnya wahyu yang pertama di gua Hira’, ketika usia baginda telah mencecah 40 tahun. Baginda pulang dari gua hira’ menggigil ketakutan, baginda melalui satu pengalaman baru. Saidatina Khadijah isteri tercinta menenangkan baginda sambil menyelimutkan tubuhnya yang mulia tanpa banyak soal atau membuat apa-apa andaian.
Apakah kekuatan yang ada pada orang Arab ketika itu untuk menerima Islam, satu agama baru bagi mereka? Sedangkan mereka sudah bertahun-tahun dari nenek moyang mereka dahulu menyembah berhala yang berbagai bentuk rupa. Tidak pernah terlintas dihati mereka untuk hanya menyembah Allah Tuhan Yang Satu. Kerana mereka sudah sebati dengan jahiliyyah.
Walaupun pada peringkat awalnya mereka menentang Islam yang di bawa oleh nabi Muhammad saw, hanya beberapa orang sahaja yang berani tampil untuk mengisytiharkan keislaman mereka . Tetapi akhirnya bilangan mereka semakin hari semakin bertambah, Islam mampu memenangi hati hati mereka. Walaupun tidak berjaya untuk menegakkan kepimpinan Islam di Mekah, namun kumpulan manusia yang telah menyerahkan diri mereka kepada Islam itu sanggup untuk bersama-sama Raulullah saw berhijrah ke Madinah meninggalkan kampung halaman mereka mencari tapak baharu. Lalu negara Islam yang pertama berjaya didirikan di Madinah Munawwarah setelah bersabar selama 13 tahun di Mekah dengan segala episod sedih dan duka yang di lalui.
Apakah sihir atau jampi mentera yang digunakah oleh Muhammad bin Abdullah sehingga berlaku satu yang ajaib itu? Dalam masa 13 tahun di Mekah seorang demi seorang Arab Mekah menyahut dakwah baginda. Bagaimanakah baginda mampu untuk merubah pegangan aqidah mereka yang telah turun temurun itu ? Apakah wang, ganjaran, harta, pangkat, perempuan dan seumpamanya menjadi taruhan ? Jawapannya tidak.
komen terkini