ISU MELAYU ISLAM: APA PERANAN KITA?

Sejak PRU ke 12 isu Melayu memang diperkatakan oleh rata-rata badan dan pertubuhan mau pun parti. Apakah kita mengikuti perkembangan ini ? (semuga tak ketinggalan keretapi). Ini adalah kerana majoriti pengundi yang layak mengundi di negara ini terdiri dari orang Melayu. Memenangi hati mereka bermakna menambah angka pengundi.

Dalam suasana orang Melayu menjadi rebutan ini apakah peranan kita. Sebagai pemerhati? Atau turut turun padang memberikan “solution”? Kerana panorama ini bukanlah sebuah teater tontonan, tetapi ia melibatkan maruah dan harga diri orang Melayu itu sendiri. Bangsa yang telah sekian lama mempelopori agama islam di bumi Malaysia ini , menyaingi agama berhala dan agama-agama buatan manusia.

Bangsa Melayu kini seolah-olah terperangkap dalam agenda politik. Mereka tidak punya solution terhadap masaalah yang mereka hadapi. Parti-Parti disekeliling mereka mempunyai agenda tersembunyi terhadap orang-orang Melayu, mereka menginginkan dan menunggu-nunggu untuk melihat pepecahan di kalangan orang Melayu. Game di tangan mereka. Sementara 2 parti besar yang di anggota oleh kebanyakkan orang Melayu Islam di Malaysia pula saling tidak mempercayai antara satu sama lain.

Orang Melayu Islam yang sedang terperangkap ini mesti di selamatkan. Mereka terlebih dahulu mesti disedarkan bahawa mereka terperangkap. Semangat mereka perlu di pulihkan. Jati diri orang Melayu perlu dipertahankan. Agar kisah Pak Kaduk yang menang sorak tetapi kampung tergadai tidak diulang tayang semula dalam versi yang lebih moden , kerana darah kepahlawanan masih  mengalir didalam tubuh Melayu Islam . Perasaan cintakan agama dan bangsa adalah kekuatan dan peluang untuk orang Melayu bangkit semula. Ibarat singa yang tidur ,, perlu dikejutkan agar menyerlah semula taring di wajahnya nan garang. Ya.. kita tidak rela bangsa kita diperkotak katikkan dibumi sendiri… sedangkan kita berkemampuan.

Seperkara yang harus kita sedari ialah ” Gelombang di bawah arus”… lahirnya badan yang kononnya menawarkan solution, tetapi sejauh manakah kebenarannya. Lahir sebagai alternatif yang agak diminati dan mendapat sambutan. Namun tidak menjadikan Islam sebagai asas , akibatnya berlaku satu kelopongan. Masyarakat sebenarnya ternanti-nanti agar lopong itu terisi. Pastinya akan ramai yang akan mendakwa merekalah yang layak berada di posisi tersebut. Lantaran itu kenapa tidak kita ajukan sesuatu yang kita miliki yang tidak dimiliki oleh orang lain??

Dalam situasi ini para pendukung fikrah Islamiyyah mesti bekerja lebih keras lagi. Memperjuangkan Melayu Islam bukan bermaksud rasis,,, tetapi adalah untuk menyelamatkan keadaan dengan memenangi bangsa teras di negara ini, bilangan mereka yang majoriti dan di kuatkan dengan agama tauhid yang mereka warisi turun temurun. Dalam masa yang sama kita mengalu-alukan bangsa bukan Melayu tetapi memiliki iman di dada mereka untuk bersama kita.

Siapakah yang akan menyelamatkan orang Melayu kalau tidak orang Melayu sendiri? Kaum Melayu Islam sepatutnya berdukacita dengan angka-angka gejala sosial di dalam negara yang didominasi oleh orang Melayu. Sepatutnya mereka bersama-sama merawat dan mencegah gejala sosial yang terus menjadi topik perbincangan di dada-dada akhbar, majalah, radio, talivisyen dan seumpamanya . Lantaran itulah amat penting sekali agenda Melayu Islam ini diketengahkan , dengan niat yang suci murni demi keamanan dan kestabilan politik di masa hadapan. Tanpa rasa prajudis dan bersikap dualisma dalam perjuangan, tetapi semata-mata kerana rasa tanggungjawab dan cintakan tanahair.

Musuh dari luar juga sentiasa menunggu kelemahan kita. Mereka menunggu

kita berpecah, tidak sehaluan, saling bertelagah, untuk mereka masuk dengan agenda mereka yang rakus. Negara kita hanya tanah semenanjung yang keluasannya tidak seberapa, tetapi kaya dengan hasil mahsul seperti minyak, getah dan kelapa sawit , yang menjadi idaman orang luar.

Atas rasa syukur dengan nikmat Allah ini jugalah kita wajib mempertahankan tanah air ini dan membangunkan bangsanya.  Maka di atas satu kesepakatan bangsa Melayu Islam akan di daulatkan . Memperjuangkan watan kerana Allah ..Insyaalah akan mendapat pertolongan daripada Allah apabila sampai waktu dan ketikanya. Yang penting kita berusaha sedaya mungkin , beraksi didunia nyata,  bukan hanya berteoeri atau asyik menunding jari kepada orang lain.

Wallahu a’lam.

Tinggalkan komen