EID MUBARAK ~ SYAWAL 1435

بسم الله الرحمن الرحيم.

Assalamu`alaikum wrb.
Sebahagian salaf menyebut :

ليس العيد لمن لبس الجديد ، إنما العيد لمن طاعاته تزيد

ليس العيد لمن تجمل باللباس و الركوب ، إنما العيد لمن غفرت له الذنوب

Bukanlah hari raya itu pada orang yang memakai pakaian baru, tetapi sebenarnya hari raya itu adalah bagi orang yang keta`atannya bertambah.

Bukanlah hari raya itu bagi orang yang kelihatan cantik pada pakaian dan kenderaan, tetapi hari raya itu sebenarnya adalah bagi orang yang telah diampunkan baginya segala dosa.

Imam Hasan al-Basri -rahimahullah- berkata;

كل يوم لا يُعصى الله فيه فهو عيد

Setiap hari yang padanya tidak dilakukan derhaka kepada Allah maka ia adalah hari raya.

اللهم أعد علينا رمضان أعواما عديدة.

Ya Allah! Pertemukan lagi kami akan ramadhan.

`Eid Mübäräk.
Selamat Hari `EidulFitr 1435H dengan ucapan :

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ.

PECAH DAN PERINTAH SATU TRAGEDI…

Suatu ketika dahulu…. bumi Melayu pernah menyaksikan kegemilangannya. Memiliki wilayah jajahan yang luas yang di gelar “Nusantara”. Kaya dengan sopan santun dan budi bahasa. Lipatan sejarahnya sarat dengan kisah-kisah perjuangan, kepahlawanan dan pengorbanan. Percikan semangat  Khilafah Islamiyyah dibawah pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyyah dapat dirasakan sehingga ke rantau ini. Sebuah rantau yang bukan Arab, bukan orang Putih, bukan China , bukan juga India,,,, tetapi adalah rantau yang dihuni oleh bangsa berketurunan Melayu. Berkulit sawo matang dengan bahasa Melayu yang kaya dengan loghat dan dialek .

Penduduknya bebas berpergian di sekitar wilayah Nusantara , berdagang , bertandang , berziarah, bermukim dan bermastautin, berbesan, bersemenda dan  beripar duai. Bebas keluar masuk dari  negeri ke satu negeri, satu kampung ke satu kampung, di sekitar daerah dan wilayah tanpa sebarang sekatan kastam maupun immigresen. Tidak perlu paspot dan visa. Kerana sesungguhnya seluruh nusantara ini adalah milik dan negeri mereka , mereka adalah warganya yang sah.

Daerah Melaka, Johor,  riau, Inderagiri, Batam , Perlak dan Jawa amat biasa buat mereka. Seandainya ada sebarang keperluan dan hajat mereka tidak teragak-agak untuk pergi ke daerah-daerah tersebut. Malahan jika sudah berkenan dihati dengan mata pencarian yang lebih baik dan kehidupan yang lebih sempurna disatu-satu tempat  mereka akan terus menetap di situ. 

Sehinggakan bangsa minangkabau, Jawa dan mendiling ramai yang dulunya berkampung halaman di seberang ,  kemudiannya menetap di Seremban, Kelang, Gombak dan sebagainya. Kerana apa? Tiada apa-apa,,, , kerana mereka adalah  satu rumpun bangsa dan satu nusantara. Wajarkah untuk kita mengatakan mereka sebagai datang untuk menjajah? Atau datang sebagai penceroboh? Atau pendatang? Sekali-kali tidak.  Mereka bukan penceroboh, bukan juga pendatang . 

Sehingga ke detik ini darah-darah antara kaum di nusantara ini terus bercampur , membentuk generasi demi generasi. Di ikat pula dengan satu ikatan suci yang menyatukan mereka iaitu ikatan aqidah Islam. 

  • Setelah masa berlalu sejarah manis ini sudah semakin dilupakan. Malah ada pihak-pihak yang gembira seandainya sejarah ini dihapuskan terus, di sembunyikan dari pengetahuan anak cucu zaman ini. Malahan diselewengkan ceritanya. Mereka gembira melihat berlakunya pecah belah diantara penduduk Nusantara setelah sekian lama memupuk persaudaraan. 

Pihak penjajah seperti British sebelum menyerahkan bumi-bumi jajahannya di Nusantara sudah memecah-mecahkan Nusantara yang luas ini kepada negara-negara yang berasingan. Proses yang dinamakan pecah dan perintah itu menjadikan mereka merasa senang hati untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan Indonesia. Secara tidak langsung mereka menganggap orang yang dari seberang adalah orang asing..! Jika ada suara-suara yang ingin mempertahankan dan memulihkan semula persaudaraan tersebut  mereka akan dituduh rasis…. Inilah sebuah tragedi.

 

 

PRU 13: LEMBARAN BARU SEJARAH NEGARA

Pilihan raya umum ke 13, pastinya akan  membuka satu lembaran baru dalam arena politik negara Malaysia. Masakan tidak, kerana PRU kali ini akan menyaksikan pertarungan yang di sertai oleh gabungan Pakatan Rakyat (PR) buat julung-julung kalinya.

Dalam siri-siri PRU terdahulu  Barisan Nasional memberikan harapan yang tinggi kepada parti-parti kompenannya, iaitu UMNO, MCA dan MIC untuk menentang PAS, DAP atau PKR.  Namun kini suasana politik tanah air telah berubah. PAS, PKR dan DAP telah bersatu dalam satu pakatan iaitu Pakatan  Rakyat  , sebagai satu strategi untuk meraih undi rakyat Malaysia yang pelbagai kaum.

Apakah sejarah yang bakal di ukir dalam PRU ke 13 yang semakin hampir itu ? PRU kali ini akan menyaksikan pertarungan antara gajah dan singa. Kedua-dua gajah dan singa itu masing-masing mempunyai penyokong-penyokong tegar mereka sendiri. Hanya menunggu pengisytiharan tarikh pilihanraya, seterusnya akan berlaku pencalonan untuk Ahli Undangan Negeri serta kawasan Parlimen. Apabila perlimen dibubarkan maka  akan semakin kencanglah degupan jantung para calon dan pengundi diseluruh negara.

Berbagai spekulasi kedengaran kini dalam memberi ramalan, kemenangan dipihak siapakah kali ini. Jika  pada PRU 12 yang lalu barisan pembangkang sudah mula menunjukkan taring mereka di persada politik nasional dengan memecah beberapa tembok pertahanan  BN , mampukah mereka yang sudah bersepakat di bawah Pakatan Rakyat itu menggegar dengan lebih kuat , seterusnya mengubah kepimpinan negara pada kali ini?  Apakah Putra Jaya yang mereka impikan itu akan menjadi kenyataan ?

Yang pastinya kedua-dua blok pakatan politik ini masing-masing merancang untuk memenangi pilihanraya kali ini. BN merancang untuk menang ,malahan ingin terus kekal menerajui  tampuk pimpinan tertinggi negara sebagai Perdana Menteri. Demikian juga PR, mereka ingin merebutnya dari genggaman UMNO. Namun sebagai orang beriman janganlah kita lupa bahawa Allah SWT juga merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Kita mengharapkan akan ada di sana solusi,  walaupun sifatnya sementara, demi menyelamatkan negara tercinta ini. Kepada Allah jua kita memohon pertolongan dan perlindungan.

Sesungguhnya dalam  dunia politik , amat sukar untuk di ramalkan apakah yang akan berlaku dan apakah kesudahannya.  Masing-masing mengharapkan happy endding di pihak mereka. Namun bagi kita orang yang beriman inginkan kemenangan dengan cara yang lebih terhormat dan bermakna.

Tiada maknanya kemenangan jika agama dan bangsa tergadai… Tiada maknanya kemenangan jika kita tidak memiliki kuasa dalam pemerintahan.  Tiada maknanya kemenangan jika hanya sekadar menang dalam pilihanraya, tetapi gagal menghadapi percaturan politik selepas pilihanraya, yang biasanya akan lebih mencabar , lebih sukar.

Semasa dalam pilihan raya yang lebih ketara ialah  pertarungan antara BN dan PR , dan kebiasaannya akan lahir beberapa parti baharu atau calon bebas yang turut bertanding. Secara lojiknya kelahiran parti baru dan calon bebas akan menyebabkan berlakunya pecah undi , di mana pengundi masih mempunyai pilihan untuk  tidak memilih mana-mana satu dari BN mau pun PR. Lantaran itu mungkin BN dan PR masing-masing gagal mendapat undian majoriti, lantas cita-cita untuk menjadi parti pemerintah akan meleset.

Manakala dari  dimensi pasca  PRU pula,  tidak mustahil masing-masing akan bertarung  sesama parti kompenan atau pakatan masing-masing . Dalam Pakatan Rakyat  PAS,DAP Dan PKR masing-masing mengaku merekalah yang paling dominan .  Bagi pihak MCA dan MIC  dalam Barisan Nasional juga  juga kita tidak  mampu untuk menelah atau meneka dengan tepat apakah yang tersirat di dalam benak mereka .  Masing-masing dengan sikap dan persepsi yang tersendiri. Dan mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa segalanya akan terjawab selepas keputusan PRU 13 nanti.

Justeru itu apakah kita bangsa Melayu , penduduk asal negara ini masih menganggap segala perubahan dan peristiwa yang berlaku adalah adat dan lumrah tamadun manusia semata-mata.  Seharusnya kita dari kalangan bumiputera, Bangsa Melayu dan umat Islam mesti mempertahankan negara ini sebagai hak milik kita secara turun temurun.

Tidak rela tanahair kita ini dibahagi-bahagikan sewenang-wenangnya.  Mempertahankan  perlembagaan yang memperuntukkan Islam sebagai agama negara, mengekalkan status quo sedia ada tanpa sebarang pencerobohan. Sejarah sedih umat Islam wajib menjadi pengajaran buat kita, di mana ketika kerajaan Islam Uthmani diambang kejatuhan pihak Barat dan sekutu2nya telah membahagikan negara-negara Islam sesama mereka ibarat membahagikan harta orang yang sedang sakit.

Dalam masa yang masih terluang ini masih ada masa untuk kita menyusun strategi  bagaimana untuk mengekalkan kuasa politik di tangan kita orang Melayu , demi menyelamatkan aqidah dan agama anak bangsa kita. Jika musuh-musuh Islam secara rakus dan lantang mempromosikan daiyah-daiyah mereka, mempromosikan liberalisma, pluralisma disamping  sekularisma, tidak sepatutnya kita masih berdiam diri malahan diperalatkan, dipergunakan dan diperkudakan.

Ramai dikalngan kita masih termangu-mangu dengan momokan bahawa perjuangan mempertahankan bangsa itu adalah rasis . Ramai yang masih sinis kepada pejuang jati diri anak bangsa Melayu. Dalam masa yang sama merasa selesa tidur sebantal dengan orang lain , tanpa mereka sedari mereka tidak mengalami mimpi yang sama.

Berjuang memperkuatkan semangat anak bangsa dan mempertahankan jati diri anak bangsa Melayu kita adalah satu kewajipan. Adalah tanggung jawab orang  Melayu  membela aqidah dan maruah orang Melayu sendiri. Yang mana bangsa Melayu ini merupakan Islam majoriti negara ini,  juga penduduk majoriti negara ini. Jika mereka rosak maka negara akan turut rosak. Harapan kita bangsa ini dengan ciri maruah yang penuh wibawa akan bangkit mendaulatkan Islam di negara ini  .   Sebagai umat Nabi Muhammad yang mengEsakan Allah dan menjungjung Al Quran kitabullah sebagai panduan dan perundangan.

Masih ada masa untuk memikirkan semula tentang ketepatan keputusan membuat pakatan politik dengan parti yang tidak menjunjung syariat Allah oleh parti yang selama ini terkenal dengan agenda membangun bersama Islamnya. Merenungi jauh-jauh nasib umat Islam beberapa tahun akan datang , malahan nasib negara ini keseluruhannya. Dulu kita  dijajah oleh British , dan kali ini kita tidak mahu dijajah sekali lagi dijajah, dengan penjajahan bentuk baru akibat kesilapan serta kecuaian dan kerakusan kita sendiri.

Demikian juga bagi mereka yang masih sukar untuk membuat keputusan dan pendirian, masih ada masa untuk anda memerhati, mengkaji dengan penuh ikhlas dan saksama.

Nasib dan masa depan umat Islam perlu di garap dengan teliti, lebih bernas , tetat dan tuntas . Mereka seharusnya tampil di mata dunia sebagai umat yang beragenda. Melakukan kesepakatan dengan pihak-pihak yang mempunyai ciri-ciri perjuangan yang sama adalah lebih bermenfaat. Bersepakat demi mendaulatkan Islam. Berbanding bersepakat dengan pihak-pihak yang mempunyai jurang perbezaan cita-cita politik yang jauh  berbeza .

Tiada jaminan kepada kita jika PR menang atau BN menang PRU kali ini untuk negara kita terus harmoni. Akan berkhirkah  lambakan isu yang di laung-laungkan tak berkesudahan itu,   seperti isu agama,  ekonomi , pendidikan, korupsi,kebejatan sosial. rasua,  rebut kuasa dan sebagainya selama ini.   Namun yakinlah bahawa jaminan untuk kebahagian hanyalah  untuk mereka yang berjuang kerana menegakkan kalimah Allah .

Gelanggang PRU bukan gelanggang untuk kita bertelagah atau beradu kuasa, tetapi adalah  amanah yang perlu ditunaikan dengan semangat cintakan negara, mempertahankan prinsip kesopanan dan kesusilaan , yang akan dikira sebagai amal soleh dan sebagai salah satu bukti ketaatan kepada Allah Tuhan semesta alam.

Wallahu a’lam…

SENARIO DI PAGI DEEPAVALI

Seorang pengacara Tv berceloteh pada pagi hari di satu siaran popular. Suasana Deepavali masih menjadi topik bual bicaranya, kerana baru semalam seluruh Malaysia bercuti sempena perayaan itu.  Biasalah seorang pengacara akan digandingkan dengan seorang lagi pengacara bagi menghidupkan suasana.

Antara  perkataan atau bualan yang mencuri pendengaran ku ialah sebuah kisah realiti yang diceritakan oleh pengacara pertama :   Semalam pagi-pagi dah kedengaran jeritan anak jiran memanggil  ” Uncle… Uncle…  mak beri sempena Deepavali… !! “.   ” Oooh… terima kasih… ! ” . Wah tosai! tak perlu beli sarapan hari ini, dapat sarapan free!

Pengacara kedua :  Awak makan ke?

Pengacara pertama : Makannn … kita rakyat  Malaysia kena makan.

Begitu mudah keputusan dibuat. Merasa gembira dengan makanan yang di beri . Tanpa rasa teragak-agak  untuk menikmatinya. Senario ini sebenarnya menggambarkan amalan masyarakat Malaysia. Senario ini juga menggambarkan  persepsi Melayu Islam terhadap kepelbagaian agama di negara tercinta ini.

Dalam peristiwa di atas ada dua kelompok  Melayu Muslim yang akan mentafsirkannya dengan tafsiran berbeza. Pertama : Menerima sahaja paparan skrin TV tersebut sebagaimana ia di paparkan. Tanpa berfikir apa-apa tentang sesuatu yang bercanggah dengan agama dan aqidah. Menerimanya sebagai satu yang biasa, dengan alasan bahawa ia memang satu amalan yang baik, dimana setiap bangsa di Malaysia tak kira agama mereka saling hormat menghormati , saling memberi dan menerima.

Kedua : Merasa tidak selesa dengan senario tersebut. Ada rasa sensitif yang menyelinap ke dalam hati. Bahawa tidak sepatutnya orang Islam turut merayakan perayaan bukan Islam. Memakan makanan mereka, begitu juga memberi ucapan tahniah atas perayaan yang sedang berlangsung..!

Dalam kita sibuk memperkatakan tentang jati diri dan maruah sebagai seorang Muslim boleh pula kita terlepas pandang isu ini. Walaupun ia kelihatan remeh namun ia berkait dengan kemurnian aqidah seorang muslim. Hakikatnya apa yang berlaku dalam masyarakt kita kini ialah kecairan identiti dan menyamaratakan antara semua agama.

Di skrin Tv, melalui nota kaki bergerak di bahagian bawah skrin kita boleh lihat  bertali arus ucapan “Happy Deepavali ” dari orang Islam kepada mereka yang beragama Hindu. Ucapan di tujukan  kepada sahabat handai, rakan sepejabat atau tempat kerja maupun jiran yang beragama Hindu. Terasa geram dan sedih melihat  tulisan-tulisan yang membawa ucapan-ucapan tersebut berlari-lari dikaca tv.

Suasana begini akan berulang lagi dalam lain-lain perayaan keagaaman di negara kita . Secara tidak langsung ia membayangkan kepada kita bagaimana  ceteknya orang Islam terhadap Islam itu sendiri. Rela disama ratakan kedudukannya dengan agama lain.

Dan yang paling takut ialah mereka semacam tidak sedar ia berkaitan dengan iman dan aqidah Islam .  Ramai yang tidak memahami konsep wala’ dan barra’ … Mesej yang ingin disampaikan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah ” Al Kafirun ”  tidak sebati dalam jiwa mereka, lantaran tidak memahaminya dan ramai yang ambil mudah dalam aspek kepelbagaian agama dan bangsa dalam masyarakat majmuk di Malaysia.  Inilah kejayaan puak-puak pluralisma dan liberalisma dalam mempengaruhi umat Islam hari ini.

Kemana perginya rasa ‘izzah atau bangga dengan Agama Islam yang dianuti sejak nenek moyang dahulu .?  Ummat Islam sebenarnya dalam kelalaian, mereka digelapkan dengan perpaduan kaum, mata mereka dikaburkan dari melihat Islam itu agama tertinggi.

Sedih sekali, apabila umat Islam tidak tahu bahawa agama lain sentiasa ingin menyaingi agama kita, malahan mereka mempunyai agenda tersendiri dalam usaha mendominasikan fahaman dan anutan mereka dibumi Malaysia  ini.

Bangkitlah wahai bangsaku…                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     Sedarlah wahai kaum Muslimin…

Marilah bersama-sama berusaha mempertahannkan agama ini. Jangan biarkan ia dihina atau dipandang rendah. Perihatinlah dan setiap senario yang berlaku. Fikirkanlah , apakah ia dari ajaran Islam atau sudah ada unsur-unsur yang tidak diredhai Allah. Kita inginkan keberkatan yang berpanjangan dari Allah, hasil dari ketaatan yang dicurahkan oleh hamba-hambaNya. Hindarkan dari kemurkaan Allah dan malapetaka di negara kita, juga generasi akan datang  ekoran dari kelalain kita sendiri.

RAMADHAN FASA KE 3

Ramadhan beransur -ansur ke penghujung. Merebut ganjaran pahala di Ramadhan Al Mubarak yang masih berbaki adalah satu keutamaan. Kerana mungkin inilah Ramadhan terakhir buat kita. Kerana tiada lagi tawaran hebat ini pada bulan hadapan hinggalah ke Ramadhan tahun depan. Kerana kita ingin mencari malam lailatul Qadar , satu malam yang lebih baik dari seribu malam, malaikat turun mengucapkan salam sejahtera bagi hamba yang terpilih sehingga terbit fajar. Kerana  kita hamba yang lemah sentiasa mengharapkan rahmah dan keampunan dari  Allah.

Tidak sewajarnya  kita melepaskan peluang  hebat ini. Berusahalah mengkhatamkan Al Quran sambil mentadabburnya, berusahalah bangun menghidupkan malam ,istiqomah dalam solat berjemaah,  banyakkan berdoa, banyakkan bersedekah dan banyakkanlah  amalan-amalan kebaikan. Ramadhan fasa ke 3, adalah fasa yang paling kritikal.

Apakah semua ibadat dan amalan yang  kita lakukan itu dengan penuh sedar dan  sepenuh hati?  bukan sekadar  ingin menandakan tanda betul pada kertas check list Ramadhan kita. Bukan sekadar memujuk hati  apatah lagi  ingin menunjuk-nunjuk.  Kita ingin mencapai makna ibadah dan taqarrub kepada Allah dalam nuasa penuh khusyuk dan menyerah diri kepadaNya.

Dalam suasana yang genting ini umat Islam di Malaysia khususnya, di sibukkan dengan persiapan menyambut Aidilfitri.  Mod hari raya semakin  meningkat. Akibatnya ramai yang leka dan terlepas dari mod Ramadhan yang sepatutnya lebih rancak. Kasihanilah pada diri kita sendiri , hindari dari termasuk ke dalam golongan orang yang kalah dengan nafsu,  lalu tersasar dari tujuan untuk menjadikan Ramadhan sebagai madrasah Al muttaqin.  Ramadhan fasa ketiga ini kelihatan lebih mencabar iman kita!

Ketika ini banyakkan istighfar dan kukuhkan perisai pertahanan diri . Semakin dekat  kita ke penghujung semakin fokus dan serius.  Sama-samalah kita ingat mengingati antara satu sama lain, sesungguhnya tetamu Ramadhan ini kian meninggalkan kita.

Pelbagai promosi berkumandang di kedai-kedai dan pasaraya. Kebalkah kita? Atau apakah promosi dan tarikan-tarikan untuk hari raya menjadikan hati kita semakin cair, umpama ais.?? Bukan menghalang dari membuat persiapan, menyediakan kuih muih, makanan dan pakaian baru . Bukan kita tidak mahu merai tetamu yang bakal bertandang di hari raya, tetapi  buatlah dengan bijak dan berhemah. Usahlah kerana ingin meraikan aidilfitri tawaran-tawaran Ramadhan yang lebih hebat kita terlepas pula.  Ramadhan fasa ke 3 ini jelas menguji kesabaran hati.

Mari kita bayangkan  graf Ramadhan kita berhenti pada titik yang paling atas, alangkah bahagianya. Sebaliknya alangkah  sedihnya andai   garisan  itu  merudum meluncur ke aras bawah , nauzubillah . Masih ada masa untuk kita pecut, ayuh!!…. Pastikan setiap malam 10 terakhir Ramadhan kita berjaga…  beriktikaf dan berqiamullail. Kasih sayang Allah dan keampunanNya jua yang kita harapkan.  Ramadhan kareem!

MENELUSURI SIRAH KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW

Di sebalik kesibukan  berbagai urusan harian yang tak pernah habis marilah kita mencari sedikit masa untuk melihat sejenak sejarah kelahiran  manusia unggul yang diutuskan oleh Allah sebagai rahmatan lil alamin. Sejarah seorang  Nabi dan penutup segala Rasul iaitu Nabi Muhammad saw. Marilah kita mengenalinya dengan lebih dekat melalui seerah kelahiran baginda,  sekali gus kita menghirup aroma keindahan seerah itu untuk menyegarkan perjuangan kita   yang masih panjang ini.

Bermula seerah harum baginda dengan perkahwinan antara Abdullah bin Abdul Mutalib dengan seorang wanita terhormat dari kalangan Quraisy, Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf .Namun  takdir telah mendahului segalanya, Abdullah bin Abdul Mutalib telah kembali kerahmatullah sebelum sempat menimang cahaya matanya yang sedang dikandung oleh isteri tercinta.

Akhirnya Aminah melahirkan Muhammad tanpa didampingi oleh seorang yang bernama suami. Muhammad saw telah dilahirkan di rumah bapa saudara sebelah bapanya iaitu Abu Thalib,  dilingkungan bani Hasyim dekat Shafa di Mekah Al Mukarramah pada hari isnin, 12 Rabiul Awwal bersamaan  tahun 571 M  yang di kenali dengan tahun gajah, dimana ketika itu Abrahah Al habsyi telah menyerang Mekah dari arah Yaman untuk menghancurkan kaabah. Sesungguhnya keputeraan baginda telah berlaku pada 1442 tahun yang lalu,  masih kita kenang sehingga ke hari ini.

Abdul Muthalib , datuk Baginda menerima berita kelahiran cucunya dengan penuh rasa gembira. Boleh jadi beliau melihat kedatangan cucunya itu sebagai ganti kepada anaknya yang dirampas maut ketika masih muda.Datuk baginda telah membawanya ke ka’abah dan memberi nama “Muhammad” kepada cucundanya. Nama tersebut cukup asing dikalangan masyarakat Mekah pada waktu itu.

Rasulullah saw telah dilahirkan dari satu kabilah paling terhormat antara kabilah-kabilah Arab lainnya. Baginda pernah bersabda mengenai dirinya : “ Allah telah memilih kinanah sebagai keturunan Ismail, lalu dari Kinanah Dia memilih Quraisy, kemudian dari Quraisy dia memilih bani Hasyim , dan dari bani Hasyim Dia memilihku. “ (HR Muslim)

Bapa baginda saw, ialah Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luay bin ghalib bin Quraisy bin Malik bin Nadhir bin kinanah bin Khzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nazar bin Ma’ad bin ‘Adnan. Nasabnya ters berlanjutan sampai kepada Nabi Ismail bin Ibrahim. Semput juga nafas kita nak menyebut nasab baginda saw. Berapa ramai dikalangan kita yang boleh menyebutkannya dengan lancar?

Mari pula kita lihat silsilah keturunan ibunda Baginda saw, beliau adalah Aminah binti Wahhab bin Abdul Manaf bin zahrah bin Kilab bin Murrah. Nasabnya bertemu dengan ayahnya pada Kilab bin Murrah ( nenda kelima dari ayahnya dan keempat dari pihak ibunya ). Seharusnya kita mengingati susur galur keturunan baginda ini , kerana kecintaan kita kepada baginda. Kecintaan kita kepada baginda seharusnya melebihi dari diri kita sendiri.

Bidan yang membantu menyambut kelahiran Nabi saw adalah Syifa’, bonda kepada Abdur Rahman bin Auf. Sementara Suwaibah, jariah kepada bapa saudaranya Abu Lahab adalah merupakan ibu susuan baginda yang pertama. Pengasuh baginda pula ialah Ummu Aiman, jariah kepada  ayah baginda , Abdullah bin Abdul Muthalib.

Tradisi bangsawan Arab pada ketika itu menghantar anak ke pedalaman demi mencari udara dan suasana yang lebih baik bagi anak-anak mereka. Lantaran itu Rasulullah saw telah dihantar kepada Halimatus Sa’diyah untuk disusukan. Ketika berusia 4 tahun Nabi saw telah dikembalikan semula kepangkuan ibundanya. Seterusnya pada usia 6 tahun Aminah, ibunda baginda meninggal dunia, lalu baginda di asuh oleh Datuk baginda, abdul Muthalib. Dalam keadaan yatim piatu, baru  sempat 2 tahun bermanja dengan datuknya  , Abdul Muthalib juga dipanggil menemui Illahi.

Abdul Mutalib dikurniakan usia yang panjang, sehingga dikatakan bahawa beliau meninggal dunia ketika berusia 120 tahun. Beliau meninggal dunia ketika Muhammad saw hampir berusia lapan tahun. Sebelum kematiannya, beliau telah menyerahkan tanggungjawab memelihara cucundanya, Muhammad saw kepada bapa saudara baginda sebelah bapa, iaitu Abu Thalib.

Abu Thalib menunaikan tanggungjawab memelihara anak saudaranya, Muhammad saw  dengan sebaik-baiknya. Baginda tinggal dan bergaul dengan anak-anak Abu Thalib. Baginda membesar di dalam rumah Abu Talib sehingga  Baginda meningkat dewasa , matang dan memahami keadaan sekeliling. Ketika berusia 13 tahun baginda pergi mengikut Abu Thalib pergi berniaga ke Syam.

Pengalaman demi pengalaman hidup di alam kanak-kanak yang baginda lalui  sejak dari dalam kandungan ibunda lagi. Asal usul dan seerah kelahirannya amat jelas . Berbanding dengan ramai tokoh-tokoh agama lain, asal-usul  mereka biasanya tidak diketahui umum selengkap kita  mengenal  Nabi  Muhammad saw.

Kemuliaan keturunan tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada lelaki yang gagal. Seperti besi, apabila dibiarkan berkarat, ia tidak berguna lagi. Tetapi jika besi itu berada ditangan pereka yang mahir , ia boleh menghasilkan bermacam-macam rekaan.

Kelahiran Nabi saw dalam keluarga yang mempunyai kedudukan yang hebat merupakan sebahagian daripada faktor kejayaan yang Allah sediakan untuk risalah Baginda. Lagi

ASET FITRAH & DAKWAH RASULULLAH SAW

Kelahiran seorang Rasul yang bernama Muhammad bin Abdullah di kalangan  Arab Quraisy di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah di kota Mekah sebenarnya telah merubah dunia dan tamadun manusia. Sebuah kota yang dihuni oleh manusia-manusia yang telah memalingkan diri dari ajaran agama samawi terdahulu , yang di bawa oleh para nabi dan utusan Allah. Justeru itu Muhamammad Saw diutuskan untuk mengajak  semula manusia kepada mengesakan Allah SWT.

Penduduk Mekah pada ketika itu berada di dalam suasana jahil yang amat nyata, mereka menyembah berhala, bermusuh-musuhan, meminum arak, berjudi , menanam anak perempuan hidup-hidup, berzina dan sebagainya. Pendek kata mereka berada dalam suasana yang  tidak bertamadun. Lantaran itu Allah  telah mengutuskan Rasulnya yang terakhir untuk umat ini,  bukan untuk bangsa Arab semata-mata tetapi untuk manusia sejagat.

وما أرسلناك الا رحمة للعالمين

Maksudnya : Tidak aku mengutuskanmu (Muhammad)  melainkan sebagai rahmat seluruh alam.

Rasul yang di utuskan oleh Allah swt secara langsung. Bukanlah ia mendapat perlantikan dari kuasa besar dunia pada ketika itu, iaitu Kerajaan Rom dan Parsi. Bukan juga baginda mendapat tunjuk ajar daripada para Rahib dan pendeta-pendeta atau ahli sihir  pada ketika itu. Ajaran yang baginda bawa adalah tulen daripada Allah swt, melalui Al Quran yang diwahyukan kepada baginda dan melalui tarbiah secara terus dari Allah.

Proses perubahan tamadun dari Jahiliyyah kepada Islam bermula dari detik Nubuwwah atau perutusan baginda sebagai Rasul oleh Allah swt. Bermula dari turunnya wahyu yang pertama di gua Hira’, ketika usia baginda telah mencecah 40 tahun. Baginda pulang dari gua hira’  menggigil ketakutan, baginda melalui satu pengalaman baru. Saidatina Khadijah isteri tercinta menenangkan baginda sambil menyelimutkan tubuhnya yang mulia tanpa banyak soal atau membuat apa-apa andaian.

Apakah kekuatan yang ada pada orang Arab ketika itu untuk menerima Islam, satu agama baru bagi mereka? Sedangkan mereka sudah bertahun-tahun dari nenek moyang mereka dahulu menyembah berhala yang berbagai  bentuk rupa. Tidak pernah terlintas dihati mereka untuk hanya menyembah Allah Tuhan Yang Satu. Kerana mereka sudah sebati dengan jahiliyyah.

Walaupun pada peringkat awalnya mereka menentang Islam yang di bawa oleh nabi Muhammad saw, hanya beberapa orang sahaja yang berani tampil untuk mengisytiharkan keislaman mereka . Tetapi akhirnya bilangan mereka semakin hari semakin bertambah, Islam mampu memenangi hati hati mereka. Walaupun tidak berjaya untuk menegakkan kepimpinan Islam di Mekah, namun kumpulan manusia yang telah menyerahkan diri mereka kepada Islam itu sanggup untuk bersama-sama Raulullah saw berhijrah ke Madinah meninggalkan kampung halaman mereka mencari tapak baharu. Lalu negara Islam yang pertama berjaya didirikan di Madinah Munawwarah setelah bersabar selama 13 tahun di Mekah dengan segala episod sedih dan duka yang di lalui.

Apakah sihir atau jampi mentera yang digunakah oleh Muhammad bin Abdullah sehingga berlaku satu yang ajaib itu? Dalam masa 13 tahun di Mekah seorang demi seorang Arab Mekah  menyahut dakwah baginda. Bagaimanakah baginda mampu untuk merubah pegangan aqidah mereka yang telah turun temurun itu ? Apakah  wang, ganjaran, harta, pangkat, perempuan dan seumpamanya menjadi taruhan ? Jawapannya tidak.

Lagi

ISLAM MANHAJ UNTUK MANUSIA


  • Kenapa agama ini tidak selamanya menang?
  • Mengapa para pendokong agama ini tidak selamanya menang?
  • Mengapa kelemahan manusia, keinginan syahwat dan realiti hidup seringkali menghalang kegemilangan agama ini?
  • Mengapa kadang kala pendokong kesesatan berjaya mengalahkan pendokong agama ini sedangkan mereka ini adalah pendokong kebenaran?

Cukuplah empat persoalan di atas untuk kita renungkan dan fokuskan di sini. Bukan kerana sudah tiada lagi soalan tetapi kerana ingin terus menjawab keserabutan ini,  jika di perturunkan lagi soalan-soalan hanya akan menimbunkan soalan sehingga menjadi bank soalan , sedangkan apa yang penting ialah penyelesaian.

Empat soalan-soalan di atas boleh dikategorikan kepada dua kategori manusia yang melemparkannya. Di mana kategori pertama saya kira ia memang lahir setulus hati dari hati penyoal yang inginkan penjelasan. Manakala kategori kedua ialah ungkapan tersebut  lahir dari manusia-manusia yang jahil dan manusia-manusia yang memang memusuhi Islam serta  ingin mengatakan bahawa agama Islam itu sudah tidak relevan lagi.

Saya juga pasti seringkali soalan ini berlegar-legar difikiran mereka yang baru ingin berjinak dengan Islam. Dan sering kali juga berlegar di fikiran orang-orang yang berputus asa dengan agama Islam yang mereka anuti ini , lantaran tiada bimbingan yang mantap yang mereka perolehi. Saya  merasakan suatu yang bahaya jika persoalan ini tidak dilayan dengan sepatutnya.

Dunia yang penuh cabaran hari ini semakin ingin meninggalkan agama di belakang. Mereka sudah berkiblat kepada pemikiran humanisma iaitu ideologi bikinan otak manusia untuk memuaskan hati manusia itu sendiri. Mereka berlindung dibawah payung ‘ hak asasi ‘ manusia’ , dan cuba meyakinkan dunia dengan idea baru ini. Inilah idealogi dipascamoden yang semakin meresap ke dalam tamadun kemanusiaan kini, yang sebelum ini di pandang pelik. Justeru itu perkara pelik dahulu sudah semakin dianggap biasa pada hari ini.

Perkahwinan sejenis lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan tidak mendapat tempat pada masa dahulu , tetapi sekarang sudah semakin diterima dan mempunyai akta yang telah diluluskan oleh beberpa negara barat. Pemakaian menjolok mata yang seksi meksi dulu mendapat tentangan , kini sudah dikatakan hak individu.

Fenomena ini adalah akibat umat Islam sudah semakin jauh dari agama. Sebaliknya umat muslim seharusnya memahami prinsip Islam itu dengan betul, agar tidak mudah dipesongkan dan terpesong kerana salah faham dalam memahami agama itu . Setiap muslim seharusnya memahami prinsip Islam itu dengan betul agar  tidak merasa janggal dengan syariat dan perundangan agama mereka sendiri. Agar mereka tidak mengeluarkan statement dan tuduhan-tuduhan yang bukan bukan terhadap Ad deen ini.

Kita lihat kepada persoalan kenapa agama ini tidak selamanya menang , dan kenapa pendukung agama ini tidak selamanya menang . Kenapa soalan ini timbul.? Jawapannya ialah kerana mereka gagal memahami tabiat agama ini dan gagal memahami bagaimana agama ini berperanan. Atau… mungkin mereka sudah faham, tetapi mereka lupa!

FITRAH MANUSIA

Sesungguhnya Allah yang menciptakan manusia ini dan Dia juga Yang mengetahui fitrah kejadian  manusia. Setiap syariat dan peraturan yang datang dari Allah untuk manusia adalah amat sesuai dan  serasi dengan manusia. Dalam masa yang sama Allah sentiasa mahu fitrah manusia itu berfungsi dan tidak di abaikan.

Fitrah sentiasa berfungsi dan tidak diabaikan? Macam mana pula tu?

Ya.. mari kita lihat  Firman Allah yang bermaksud:

“Dan jiwa dan Yang menyempurnakan (kejadiannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa (jalan) kejahatan dan ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang membersihkan jiwa. Dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorkannya.                                                                                                                                                                                        ” (As-Syams: 7-10)

Allah juga mahukan supaya Manhaj Ilahi yang dikurniakan kepada manusia terlaksana , dalam firmanNya :

‘…Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…” (Ar-Ra’d: 11)

Dapat di fahami disini bahawa Allah mahukan sesuatu itu dicapai melalui usaha dan tenaga manusia, ketinggian kemahuan dan iradah mereka. Allah ingin melihat sejauah mana kesabaran manusia memikul bebanan melaksanakan manhaj yang benar ini. Allah ingin melihat sejauhmana kesabaran manusia dalam menghadapi kesusahan dan bencana dalam kehidupan mereka.

” Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui tentang orang-orang yang berdusta.”                                                                                                                      (Al-Ankabut: 2-3)

Saya harap melaui ayat-ayat di atas kita boleh kaitkan dengan soalan-soalan tadi, sekali gus merungkai kebuntuan fikiran atau salah faham.

Secara fitrahnya Allah talah  menciptakan manusia itu mampu untuk membawa tanggung jawab agama ini, iaitu agama Islam.Pancaindera, aqal, Al Quran dan rasul yang diutuskan kepada manusia untuk  menguatkan lagi potensi dan kemampuan tersebut. Maka Allah ingin semua kurniaan fitrah itu berfungsi.

Selain pancaindera dan aqal digunakan untuk semata-mata urusan rutin seperti melihat, mendengar, berkata-kata dan seumpamanya ia juga adalah diamanahkan untuk memenangkan dan mempertahankan agama ini. Bahkan mereka akan ditanya kelak dihari perhitungkan bagaimana mereka menggunakannya .

Akal fikiran dan seluruh pancaindera seharusnya digunakan untuk agama ini, melakukan ketaatan, menyebarkan dakwah, berjihad, memerintah dan memimpin manusia dengan hukum-hakam Islam, seterusnya dan seterusnya. Tidak timbul lagi pertanyaan kenapa agama ini tidak menang.. tidak timbul lagi soalan kenapa pendukung agama ini tidak selamanya menang. Yang perlu ditanyakan ialah kepada diri kita sendiri,, sejauh manakah usaha yang kita curahkan untuk Islam dan apakah sumbangan kita untuk Islam. Lagi

KEBERKESANAN UNDANG-UNDANG MORAL DALAM MENANGANI GEJALA SOSIAL

Setiap hari ada sahaja berita dan cerita mengenai maksiat yang berlaku di negara kita. Maksiat yang melambangkan betapa rendah dan runtuhnya akhlak penduduk negara  ini . Satu musibah yang menimpa negara yang majoritinya berbangsa Melayu dan majoritinya beragama Islam melalui keruntuhan moral yang berleluasa. Suasana ini  tidak wajar dibiarkan begitu sahaja, menganggapnya sebagai normal bagi sebuah kemajuan . Kerana fenomena yang berterusan akan bertukar menjadi bencana akhirnya.

Berkhalwat, berzina, melakukan hubungan sex sejenis, berjudi ( walaupun dipremis berlesen ), melakukan perkara tidak sopan dan sebagainya adalah di kira maksiat dan diharamkan oleh Islam. Bukan sahaja haram melakukannya malahan ia perlu di jauhkan. Seperti contoh, berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dilarang oleh Islam kerana ia boleh membawa kepada maksiat yang lebih besar, iaitu perzinaan, kelahiran luar nikah , dan seumpamanya.

Firman Allah :

Hai orang-orang beriman sesungguhnya khamar, berjudi , berhala,  menguji nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu moga kamu mendapat keuntungan.

Surah Al Maidah : 90.

UNDANG-UNDANG MORAL

Untuk membenteras gejala maksiat ini dari berleluasan dan berterusan perlukah dikuat kuasakan undang-undang moral di negara ini ? Apakah negara mempunyai kuasa terhadap moral rakyatnya, atau adakah moral itu hanyalah tanggung jawab individu semata-mata ?

Dalam konteks negara Malaysia sebuah negara berperlembagaan , kita menjawab persoalan ini  melalui kaca mata perlembagaan. Perundangan negara kita adalah berbeza dengan suasana di Barat, terdapat prinsip asas yang telah terpahat kukuh sebagai dasar  perlembagaan persekutuan juga menjadi tonggak kepada penguatkuasaan undang-undang  moral . Dalam perkara tiga telah menetapkan bahawa agama bagi negara ini adalah agama Islam. Oleh itu dalam apa keadaan sekalipun ajaran dan dasar Islam perlu diberi keutamaan. Bagi negara Barat yang telah menolak agama sememangnya di akui bahawa tiada unsur dan  pengaruh agama dalam undang-undang kawalan moral  masyarakat mereka .  Tetapi kta tidak boleh sama sekali menerima pertimbangan itu di dalam negara ini yang menganut agama Islam.

Oleh kerana negara kita memartabatkan Islam sebagai agama negara maka moral standart yang  harus di terima pakai bagi perundangan negara tentunya agama Islam. Maka adalah salah jika seseorang itu berhujjah atau mengatakan bahawa isu moral adalah urusan individu dan tiada kaitan  dengan undang-undang sama sekali.. ” kubur masing-masing, hak asasi dan sebagainya ” . Hujah seperti itu hanyalah di gunakan di negara yang tidak menerima agama sebagai  peranan utama dalam pembentukan negara.

GEJALA SOSIAL PASCA MODEN  DIKALANGAN WANITA

Keruntuhan moral dan gejala sosial yang berpunca dari pemikiran pasca  modenisma memang sedang hebat melanda negara. Kenyataan ini di kukuhkan oleh fakta yang dikeluarkan oleh agensi – agensi kerajaan menunjukkan betapa meruncingnya gejala sosial dalam masyarakat khususnya yang melibatkan golongan  wanita.

1. Perangkaan  dari Jabatan Pendaftaran Negara 2011  : kelahiran Anak yang tidak sah taraf yang di daftarkan antara tahun 2006 – 2010 , sebanyak 234,647 orang.,  dari jumlah tersebut seramai 80,939  atau 34.5% ialah dari ibunya yang beragama Islam.

2. PDRM : 280 kes buang bayi dilaporkan dari tahun  2005 – april 2010 di seluruh negara. Setiap kali berakhirnya sambutan yang membabitkan kemeriahan pada sebelah malamnya dinegara ini tiga bulan selepas itu kita akan dapati peningkatan kes buang bayi dan mengandung anak luar nikah. Tempoh ini ibarat musim mengawan kerana 3 bulan selepas itu rumah perlindungan dan seluruh negara akan mencatat kes buang bayi sama ada masih hidup atau janin yang di buang dalam semak, belakang rumah,  dalam tong sampah , dalam longkang dan juga tandas. Lagi

MUQADDIMAH BUKU ISLAHUL QULUB- AMR KHALID

Walaupun dunia menyaksikan perubahan ketara terhadap bahan bacaan dan komunikasi, seperti internet, blog, face book, twiter, emajalah dan sebagainya …  namun bagiku buku, majalah dan akhbar sebenar yang berupa kertas masih lagi menjadi  pilihanku. Buku yang mempunyai helaian halaman. yang boleh dipegang dan dijinjing ke mana-mana. Satu kepuasan tersendiri membelek-belek helaian demi helaian muka surat buku. Berbanding ebook  , menatap huruf-huruf melalui skrin yang bercahaya, …. tidak semesra buku .

” Islahul Qulub ” buku karangan Amr Khalid dengan tebal yang sederhana, 318 muka surat. Bila diselak topik-topik yang terkandung di dalamnya seakan-akan biasa-biasa sahaja. Tajuk ikhlas, tawakal, taubat, kasih sayang Allah dan beberapa lagi . Namun sebelum melayari buku ini seperti mana biasa , saya akan membaca muqadimah kitab terlebih dahulu. Itu memang perangai saya, tak sah kalau tak baca muqaddimah.

Fuhh..! hebat syeikh Amr Khalid ni dalam menarik minat para syabab untuk menhadiri majlis-majlis ceramahnya. Saya kagum dengan kejayaannya. Pendekatannya yang santai, mudah di fahami dan semasa . Lantaran itu ingin saya nukilkan muqadimah kitab Islahul Qulub ini sebagai penguat semangat. Malahan saya merasakan ini adalah contoh dakwah masa kini yang berjaya menjinakkan hati-hati anak-anak muda untuk mendekati Islam.

Al Muqaddimah : 

                                  ” Buku ini adalah dari siri ceramah saya yang telah saya sampaikan beberapa tahun yang lalu di sebuah masjid iaitu Masjid Khalil Al Khusari di Kaherah. 

Aku menulis muqaddimah kitab ini dengan satu kenangan manis yang menyelinap dalam perasaanku. Saya mengingati segalanya, akulah orang yang menyampaikan ceramah ini.. Sesungguhnya ia bukanlah semata-mata ceramah tetapi ia juga adalah satu mulhamah syababiyyah yang hangat dengan iman dan perasaan kasih sayang pada jalan Allah.

Pembaca budiman, izinkan saya untuk bersamamu menziarahi masjid Al khusari, untuk hidup bersamaku menikmati suasana yang aku lontarkan ucapanku dalam muhadharah Islahul Qulub. Masjid yang diasaskan oleh Qari Asy Syeikh Mamud Khalil Al Khusari Rh. Masjid yang terletak ditengah-tengah antara  penempatan Hayyu Al “ajuzah dan  antara Hayyu Raaqin dan Hayyu Al Muhandisin. Manakala tanggung jawab menjaga masjid ini di pegang oleh anak  perempuan Asy Syeikh Al khusari sendiri iaitu Puan Hajjah Yasmeen Al Khusari. Kawasan masjid yang kecil. Yang hanya mampu memuatkan sekitar 200 orang . Di sinilah tempat kami memulakan muhadharah-muhadharah yang ada pada tangan-tangan anda sekarang.

Tetapi Allah yang memiliki segala kurnia telah menyampaikan suara kami kepada ribuan manusia. Para syabab datang dari seluruh tempat mendengar muhadharah, sehingga bilangan mereka mencapai 15,000 orang , dari kalangan belia dan beliawanis setiap minggu.Kini, seolah-olah aku memandang ke arah wajah-wajah mereka  yang bercahaya, bersih, jernih dan penuh harapan untuk hari esok.

Mereka adalah ribuan dalam satu hati.

Aku merasakan seolah-olah Allah membuatkan aku bercakap untuk mereka, aku merasakan setiap minggu para malaikat melingkungi kami, seolah-olah aku melihat mereka, dia menunjukkan aku kepada suasana tenang yang indah yang meliputi setiap tempat.

Aku lihat diwajah-wajah mereka kesan-kesan kasih sayang Allah kepada hambaNya. Dan tentu anda tertanya-tanya bagaimana seramai 15,000 orang duduk dalam satu tempat yang hanya muat 200 orang. 

Sesungguhnya penduduk tempatan telah melakukan perkara yang mengkagumkan. Setiap bumbung-bumbung bangunan disekeliling masjid dihamparkan dengan tikar, agar ratusan syabab dan banat duduk di atasnya. Tertera di pintu masuk bangunan ” sutuh rijal” dan ” sutuh nisa’ ” [ bumbung lelaki dan bumbung wanita]. dan yang menambahkan kagum ku lagi ialah di daerah ini terdapat satu wakil/ agensi penjualan kereta , kami rasa terkejut apabila tuan premis tersebut mengeluarkan kereta-kereta yang dipamerkan dan meletakkanya jauh ditempat lain  bagi mengosongkan tempat itu untuk masjid.

Malah aku bertambah kagum,  dan kagum lagi apabila pemilik sebuah restoren menggantungkan notis ” Tutup Hari Khamis ” , hanya untuk menyediakan tempat bagi mereka duduk.

Aku tidak akan lupa juga kepada penduduk kampung ini.. di mana mereka sama-sama membersihkan laman sekeliling dan mengemaskannya untuk diduduki oleh para syabab dan banat. Bahkan aku pasti anda juga kagum jika aku katakan bahawa ada rumah-rumah tertentu yang membuka pintu-pintunya bagi sesiapa yang ingin masuk bagi mendengar muhadharah. Demikianlah duduknya 15,000 orang pada satu tempat yang berkapasiti dua ratus. 

Hari pengajian itu didahului oleh satu hari sebelumnya oleh puluhan syabab untuk menyediakan tempat bagi memuatkan bilangan ini. Syabab dan banat dari keluaga keluarga terkenal keluar dari kuliah-kuliah mereka segera menuju ke masjid khusari. Di sana ada yang membersihkan jalan, ada yang menghamparkan tikar dan menjaga parking.

Anda akan mendapati mereka tekun dalam membuat kerja, engkau akan menangis kerana sayangkan mereka dan kerana gembira dengan mereka. Dan aku melihat Hajjah Yasmeen turut ada ditengah-tengah mereka , bekerja dan memikul tikar atas bahunya seperti ia seorang gadis dua puluhan.

Aku merasakan kerdilnya aku disisi Allah. Dan semua itu disediakan kerana muhadharah yang akan aku sampaikan, Allah telah membukakannya untukku.

Inilah dia kalimat-kalimat yang berada ditangan-tangan kamu. Itulah  hari-hari yang indah aku sendiri tidak tahu adakah ia akan berulang kembali atau tidak.

Jika anda menayaku apakah rahsia kejayaan hari-hari tersebut, aku tidak apai melainkan satu perkataan , iaitu “ikhlas”. keikhlasan para syabab, keihlasan para banat, keikhlasan hadhirin, keikhlasan Hajah Yasmeen dan aku memohon kepada Allah semuga aku bersama mereka.

Percayalah wahai pembaca budiman , sesungguhnya aku tidak mampu menahan airmata ku kini, tatkala aku menulis muqaddimah kitab ini. Sesungguhnya aku terkenangkan para syabab yang ikhlas itu.

Inilah siri Islahul Qulub, aku memohon kepada Allah agar kalian membacanya dan membayangkan seolah-olah anda duduk bersama kami di sana, di Masjid Al Khusari dan kalian melakukan dalam hati kalian apa yang aku lakukan pada hati-hati kami. Kepada Allah jua kita memohon pertolongan.

Amr Khalid

Beirut – Lubnan ” .

Tidak dinafikan setiap orang ada tarikan tersendiri. Punya kekuatan tersendiri. Dan kita jua percaya kekuatan roh dan kekuatan hubungan dengan Allah adalah rahsia yang bukan rahsia lagi. Kerana jiwa yang basah akan mampu menghidupakan hati-hati yang kering.

Previous Older Entries